Polis nafi ada ancaman Daesh di Sabah

Polis nafi ada ancaman Daesh di Sabah

KOTA KINABALU, 2 Feb – Polis Sabah hari ini menafikan dakwan kononnya terdapat ancaman kumpulan penganas Daesh di beberapa kawasan di negeri ini, seperti yang diviralkan melalui aplikasi Whatsapp sejak semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun berkata maklumat yang disebarkan itu hanya khabar angin dan orang ramai diminta tidak mempercayai serta menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan.

Maklumat ancaman penganas yang menjadi viral melalui aplikasi Whatsapp sejak semalam, dipercayai disebarkan pihak tidak bertanggungjawab berikutan beberapa aset dan anggota polis telah digerakkan melakukan operasi dan sekatan jalan raya di sekitar pusat bandar ini.

Abd Rashid berkata pergerakan aset dan anggota itu adalah perkara biasa dan ia akan dilakukan dari semasa ke semasa serta tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa kejadian atau ancaman seperti yang disebarkan.

“Kalau kita gerakkan aset yang sudah lama tidak beroperasi, itu bukan bererti ada perkara yang luar biasa berlaku…jadi jangan kaitkan dengan militant sekiranya kita mengerakkan aset dan anggota pada masa-masa tertentu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 8 sempena perayaan Tahun Baru Cina, di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh berhubung dengan balai polis atau ibu pejabat polis daerah berhampiran untuk mendapat apa sahaja maklumat dan elakkan daripada mendengar khabar angin.

“Pihak polis juga akan membuat kenyataan segera kepada media untuk disebarkan kepada orang ramai sekiranya ada perkara tidak baik (ancaman) berlaku,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat 8 itu, Abd Rashid berkata pihaknya memberikan penekanan terhadap dua perkara iaitu keselamatan di sekitar perumahan dan jalan raya.

“Kita menasihatkan agar pengguna jalan raya sentiasa mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan elakkan memandu kenderaan ketika dipengaruhi alkohol.

“Komuniti yang meninggalkan rumah pada tempoh yang lama perlu memberitahu balai polis berhampiran agar rondaan dapat dilakukan untuk mengelakkan sebarang kejadian seperti kes pecah rumah,” katanya. – Bernama