Polis Nepal berkas 223 mogok seluruh negara

Polis Nepal berkas 223 mogok seluruh negara

KATHMANDU, 13 Nov – Polis menahan 223 anggota kumpulan serpihan Maois di seluruh Nepal hari ini kerana merosakkan kenderaan dan memaksa kedai ditutup ketika cuba melancarkan mogok di seluruh negara.

Pembantah daripada Parti Komunis Nepal (Maois) menggesa kilang, sekolah dan pengangkutan awam ditutup di seluruh negara Himalaya itu ketika mereka memberi tekanan ke atas kerajaan untuk memberikan subsidi makanan.

“Kami telah menahan 223 orang kerana cuba menyekat jalan raya dan merosakkan kenderaan,” beritahu jurucakap polis Hemant Malla kepada AFP.

Malla berkata tiga buah kenderaan telah pun dirosakkan namun tidak ada kecederaan dilaporkan. Jalan raya di Kathmandu sebahagian besar kelihatan lengang dan banyak kedai masih ditutup.

“Tujuan utama bantahan kami adalah untuk memberikan tekanan kepada kerajaan untuk mengurangkan harga bijirin makanan, minyak dan gas memasak. Kerajaan harus menyediakan subsidi 50 peratus ke atas barangan berkenaan untuk menjadikan mereka mampu dibeli untuk orang awam,” kata jurucakap parti Khadga Bahadur Biswokarma.

Kadar inflasi Nepal meningkat kepada 12 peratus pada tahun lalu ekoran gempa bumi besar dan sekatan sempadan berbulan-bulan lamanya oleh penunjuk perasaan yang tidak puas hati dengan syarat-syarat perlembagaan baru tetapi telah merosot kepada 7.9 peratus sejak itu, menurut bank pusat negara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA