Polis pantau pengaruh Daesh di Universiti Labuan

Polis pantau pengaruh Daesh di Universiti Labuan

LABUAN, 12 Okt – Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari Em Hadzeer mengingatkan anggota polis di pulau bebas cukai ini supaya mempertingkatkan pemantauan terhadap pengaruh kumpulan militan Daesh dan pengganas Sulu dalam kalangan pelajar di University Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Beliau berkata ini berikutan kajian yang mendapati antara tujuh dan 10 peratus mahasiswa menyokong Daesh manakala dua peratus lagi bersetuju untuk ‘menyumbang’ kepada apa yang didakwa sebagai perjuangan pengganas Sulu.

“Dapatan ini mencetuskan kebimbangan dan tidak seharusnya diambil mudah oleh polis,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Labuan semalam.

Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Murnizam Halik berkata universiti itu menyambut baik langkah polis untuk memantau sebarang pengaruh keganasan terhadap pelajar.

Ketika ini, UMSKAL menempatkan 2,175 pelajar terdiri daripada 97 peratus pelajar Malaysia dan bakinya, pelajar dari China serta negara Afrika.

“Kami telah menjalankan tugas kami dan pada kami, tiada sebarang tanda tentang pengaruh aktiviti keganasan di kampus kami. Bagaimanapun, kita mesti terus berwaspada dan memantau rapi aktiviti pelajar,” kata Murnizam.

Sementara itu, Awang Sahari mengingatkan anggota polis supaya mengelak daripada masuk campur dalam isu politik.

Sebaliknya, beliau berkata anggota polis perlu memberi lebih perhatian kepada isu berkaitan keselamatan negara seperti Daesh dan jenayah rentas sempadan serta pelanunan, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA