Polis: Pengeboman dan serangan khianat ‘berkaitan’

Polis: Pengeboman dan serangan khianat ‘berkaitan’

BANGKOK, 14 Ogos – Polis Thai percaya beberapa insiden pengeboman dan serangan yang melanda beberapa wilayah termasuk kawasan pelancongan yang popular sejak beberapa hari kebelakangan ini “jelas mempunyai kaitan.”

Dalam insiden itu, empat orang maut dan 35 orang lagi termasuk 10 pelancong asing, cedera.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Jen Pongsapat Poncharoen berkata demikian ketika mengesahkan penangkapan warga tempatan berusia 32 tahun kelahiran Chiang Mai kerana didakwa terlibat serangan khianat di satu daripada wilayah di selatan.

“Semua insiden (pengeboman dan serangan bom) jelas mempunyai kaitan.Polis dan tentera sedang bekerjasama rapat berhubung insiden tersebut,” kata beliau pada sidang media di Polis Diraja Thai di sini hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa mencapai kemajuan dalam siasatan mengenai insiden serta suspek yang dikaitkan dengan beberapa insiden tersebut.

Seorang buruh memeriksa kerosakan yang berlaku ke atas tingkap cawangan Starbuck berhampiran tapak pengeboman awal di bandar peranginan mewah Hua Hin pada 12 Ogos lalu. Siri pengeboman dan serangan di bandar-bandar selatan Thailand yang turut menjejaskan pelancongan, saling berkaitan, menurut polis ketika mereka memburu pelakunya.  – AFP
Seorang buruh memeriksa kerosakan yang berlaku ke atas tingkap cawangan Starbuck berhampiran tapak pengeboman awal di bandar peranginan mewah Hua Hin pada 12 Ogos lalu. Siri pengeboman dan serangan di bandar-bandar selatan Thailand yang turut menjejaskan pelancongan, saling berkaitan, menurut polis ketika mereka memburu pelakunya. – AFP

Beberapa wilayah di selatan Thailand termasuk kawasan tarikan pelancong seperti Hua Hin, Phuket, Phang Nga, Krabi dan Trang digegarkan dengan beberapa insiden pengeboman dan serangan, beberapa hari selepas kerajaan mengadakan pungutan suara mengenai draf perlembagaan.

Lebih 61 peratus daripada rakyat yang mengundi menyokong draf perlembagaan untuk membuka jalan bagi pilihan raya umum diadakan tahun depan seperti digariskan di bawah pelan kerajaan untuk membawa negara kembali kepada demokrasi.

Mengenai penangkapan seorang lelaki tempatan berasal dari Chiang Mai,Pongsapat berkata mahkamah telah pun meluluskan bagi mengeluarkan waran tangkap dan mahkamah awam akan mendengar kes itu.

Beliau berkata mahkamah tentera hanya akan membicarakan suspek yang terlibat dalam insiden pengeboman sementara mahkamah awam akan mendengar kes-kes membabitkan serangan khianat.

Lelaki itu, berasal dari daerah San Kampaheng di Chiang Mai, bekerja di sebuah pelantar minyak luar pesisir di Nakhon Si Thammarat, wilayah di selatan Thailand.

Pongsapat juga berkata suspek atau suspek-suspek yang terlibat dalam insiden pengeboman di Hua Hin pada malam Khamis dan pagi Jumaat yang menyebabkan dua maut, masih bebas.

Tetapi pihak berkuasa percaya, suspek masih berada di negara ini memandangkan mereka tidak mengesan sebarang pergerakan di pusat imigresen.

Pongsapat juga berkata mereka yang tidak melakukan apa-apa jenayah tidak perlu bimbang kerana semua prosiding akan dijalankan berlandaskan undang undang dan berdasarkan bukti.

Untuk mereka yang mempunyai kaitan dengan insiden, Pongsapat meminta mereka tampil ke hadapan kerana sebarang maklumat ialah seperti melengkapkan satu “teka silang kata” dan membantu siasatan secara keseluruhan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA