Polis Perancis patahkan sekatan

Polis Perancis patahkan sekatan

DOUCHY-LES-MINES, Perancis, 25 Mei – Polis Perancis menggunakan meriam air hari ini untuk meleraikan puluhan aktivis yang menyekat sebuah depot minyak di timur laut, tatkala pam kehabisan minyak dan kesatuan menambah mogok dalam pertarungan sengit berhubung pembaharuan pekerjaan.

Dengan satu perlima daripada stesen petrol di Perancis kehabisan minyak, polis bertindak untuk mematahkan sekatan di depot di Douchy-les-Mines berhampiran sempadan Belgium yang telahpun didirikan sejak Khamis.

Diperhatikan oleh 80 pekerja mogok, anggota bomba memadamkan tayar terbakar yang menyekat jalan raya dan menyebabkan asap tebal berkepul-kepul naik ke udara.

Kebanyakan stesen petrol di kawasan itu adalah lengang, memaksa pemandu kereta mengunjungi sempadan Belgium untuk mengisi minyak, lapor seorang jurugambar AFP.

Sekatan adalah sebahagian daripada pergolakan sosial yang telah melihat beribu-ribu orang membanjiri jalan raya dalam bantahan ganas ke atas pembaharuan pekerjaan yang dicadangkan oleh kerajaan Sosialis pimpinan Presiden Francois Hollande.

Seorang pekerja SNCF Perancis mengangkat suar ketika menyekat laluan ke depot minyak dekat Donges, kelmarin. – AFP
Seorang pekerja SNCF Perancis mengangkat suar ketika menyekat laluan ke depot minyak dekat Donges, kelmarin. – AFP

Semalam, Philippe Martinez, pemimpin kesatuan CGT yang telah melancarkan sekatan dan mogok di kilang penapis, berikrar akan meneruskan tindakan sehingga undang-undang pekerja ditarik balik.

Sekurang-kurangnya enam daripada lapan kilang penapis di Perancis sama ada telah berhenti operasi atau telah mengurangkan pengeluaran mereka disebabkan mogok dan sekatan.

Pengangkutan terjejas seterusnya pada hari ini akibat mogok di kereta api, mencetuskan keadaan kelam-kabut untuk penumpang.

Pergolakan sosial telah menimbulkan kebimbangan terhadap kejohanan bola sepak Euro 2016 yang dianjurkan oleh Perancis yang bermula pada 10 Jun. – AFP