Polis Perancis tangkap 9 rompak konvoi Putera Saudi

Polis Perancis tangkap 9 rompak konvoi Putera Saudi

PARIS, 18 Mei – Polis Perancis telah menangkap sembilan orang hari ini yang berkaitan dengan rompakan hebat ke atas konvoi putera Saudi di Paris tahun lepas yang juga membawa lari sebanyak 250,000 euro.

Suspek-suspek itu telah ditangkap di rantau Paris dan kini dalam tahanan, menurut sumber polis kepada AFP.

Serangan ke atas konvoi putera berlaku pada Ogos di utara Paris ketika konvoi sedang dalam perjalanan dari sebuah hotel di Champs Elysees menuju ke lapangan terbang di Le Bourget.

Sekumpulan pencuri ‘antara lima dan lapan’ berada dalam dua BMW yang dirampas yang pertama dari sekitar 10 kenderaan dalam konvoi itu, memandu bersama tiga penumpangnya sebelum melepaskan mereka pergi, menurut polis.

Mercedes dan BMW milik warga Saudi itu kemudian ditemui ditinggalkan dan dibakar di kampung Saint-Mesmes, ke timur laut Paris, kira-kira 40km dari tempat kejadian.

Polis menemui dua keping wang kertas 500 euro, dokumen dalam bahasa Arab, dan ubat berhampiran bangkai kereta yang dibakar. Pencuri juga telah melarikan dokumen diplomatik yang ‘sensitif’.

Pada waktu itu, polis menyifatkan serangan itu sebagai ‘luar biasa’ dan menekankan yang penyerangnya ‘sepertinya telah dimaklumkan awal’.

Tidak ada sesiapa yang cedera dalam serangan itu.

Sumber lapangan terbang mengatakan putera itu ialah Abdul Aziz bin Fahd, anak lelaki Raja Fahd, yang meninggal dunia pada 2005. – AFP