Polis perlu bertindak sewajarnya

Polis perlu bertindak sewajarnya

PAKISTAN, 10 Ogos (Reuters) – Ibu bapa kanak-kanak yang menjadi mangsa skandal penderaan seksual di Pakistan, menuduh polis gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelak kejadian itu.

Kes penderaan di perkampungan Husain Khan Wala, Punjab, itu menjadi tajuk utama akhbar Pakistan semalam dan Perdana Menteri Nawaz Sharif membahaskan isu itu di Parlimen.

Menurut penduduk kampung, satu keluarga yang terkenal di perkampungan itu sudah bertahun-tahun memaksa kanak-kanak melakukan adegan seks untuk dirakam dan rakaman berkenaan kemudian dijual atau digunakan untuk memeras ugut keluarga miskin.

“Saya ke balai polis untuk membuat aduan tetapi polis bukannya mencatatkan (laporan) sebaliknya menahan anak lelaki saya,” kata Shakila Bibi yang anaknya berusia 15 tahun masih dalam penjara.

Jika siasatan mendapati tindakan polis tidak mencukupi atau bersubahat, skandal itu boleh menjejaskan kerajaan wilayah itu yang diperintah adik Perdana Menteri.

Pegawai Polis Daerah Rai Babar memberi jaminan polis akan bertindak tegas.

“Saya memberi jaminan kami mengambil serius perkara ini dan siasatan dilakukan secara adil dan telus,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, pejabat Perdana Menteri berkata: “Perdana Menteri berasa amat sedih… penjenayah itu akan menerima hukuman paling berat yang boleh.”

Penduduk kampung mendakwa polis tidak mengendahkan aduan mereka walaupun skandal itu membabitkan ratusan kanak-kanak.

Aktivis Mobeen Ghaznavi berkata, ramai kanak-kanak didera dan dia mempunyai 130 rakaman video penderaan itu.

“Orang ramai takut. Mereka diancam dan diugut,” katanya. Menurut Suraiya Bibi, beberapa wanita di kampung itu menunjukkan kepadanya rakaman video.

ARTIKEL YANG SAMA