Polis rampas aset mafia

Polis rampas aset mafia

ROM, 23 Julai – Polis Itali mengumumkan semalam bahawa pihaknya telah merampas aset bernilai AS$2.2 bilion milik satu sindiket penjenayah yang berpengaruh dan berkuasa.

Aset yang dirampas daripada Mafia Ndrangheta yang menguasai sebahagian besar pasaran kokain Eropah termasuk lebih 1,500 kedai judi, 82 laman web perjudian dan hampir 60 buah syarikat di samping sejumlah hartanah, kata polis.

Pihak pendakwa raya turut mengeluarkan waran tangkap terhadap 28 orang yang disyaki menguruskan empayar perjudian itu dan meletakkan 23 yang lain di bawah tahanan rumah atau memerintahkan mereka melaporkan diri kepada polis.

Semua konco berkenaan dipercayai diketuai oleh ketua mafia Mario Gennaro. Dia meluaskan kuasa dan pengaruh dalam Mafia Ndrangheta selepas mendapat kekayaan melalui premis perjudiannya.

Mafia Ndrangheta dianggap sindiket penjenayah paling berkuasa di Itali dan mengatasi pengaruh Mafia Cosa Nostra di Sicily atau Mafia Camorra yang berpangkalan di Naples. Sindiket Ndrangheta merupakan pembekal utama kokain yang dihasilkan di Amerika Latin dan diseludup ke Eropah melalui Afrika Utara dan Itali.

Wang haram daripada perdagangan kokain berjumlah berbilion-bilion dolar itu ‘dicuci’ menerusi empayar perjudiannya. Sebanyak 11 daripada syarikat milik Mafia Ndrangheta yang dirampas beribu pejabat di luar negara termasuk di Austria, Malta, Romania dan Sepanyol. – AFP