Polis rampas bungkusan heroin, marijuana

Polis rampas bungkusan heroin, marijuana

HANOI, 28 Nov – Polis Vietnam merampas dua bungkusan besar mengandungi heroin dan marijuana dalam serbuan dadah berasingan pada hujung minggu, dengan beberapa orang ditangkap kerana disyaki menyeludup narkotik dari negara jiran Laos, menurut laporan rasmi hari ini.

Komunis Vietnam mempunyai beberapa undang-undang dadah paling ketat di dunia, namun ia berkongsi sempadan dengan Laos dan barangan haram dari dadah hingga produk hidupan liar sering diseludup masuk.

Polis merampas 112 kilogram heroin di wilayah utara Phu Tho lewat Sabtu dan menangkap empat orang selepas menemui dadah dalam jag air plastik besar. “Heroin itu mungkin berasal dari Laos. Siasatan selanjutnya ke atas kes itu akan dijalankan,” menurut satu laporan dari laman web rasmi wilayah itu.

Suspek, Vang A Cang, 42, memberitahu polis yang heroin itu adalah miliknya dan berkata dia telah mengupah tiga lelaki lain sebagai pemandu dan pengawal dengan bayaran gabungan kira-kira AS$17,500.

Dalam kes berasingan, polis di wilayah tengah Ha Tinh telah menangkap dua lelaki warga Laos pada Sabtu kerana menyeludup masuk 60 kilo marijuana ke Vietnam, menurut akhbar rasmi polis. Polis merampas marijuana tersebut. – AFP