Polis rampas dadah RM1.3 Juta

Polis rampas dadah RM1.3 Juta

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah jenis ketamin bernilai RM1.3 juta dalam serbuan di sebuah hotel di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam serbuan Isnin lepas itu, dua lelaki tempatan berusia 40 tahun turut diberkas.

“Suspek pertama ditahan pada 3.40 petang di lobi hotel manakala suspek kedua ditahan di tempat letak kereta hotel itu pada 4.10 petang.

“Ketika ditahan suspek kedua sedang membawa bungkusan kotak yang di dalamnya terdapat dadah disyaki serbuk putih ketamin seberat 25.2 kilogram,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Serbuk putih seberat 25.2 kilogram disyaki dadah ketamin dengan nilai rampasan RM1.3 juta yang berjaya dirampas hasil serbuan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) ditunjukkan kepada wartawan pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, semalam. – Bernama
Serbuk putih seberat 25.2 kilogram disyaki dadah ketamin dengan nilai rampasan RM1.3 juta yang berjaya dirampas hasil serbuan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) ditunjukkan kepada wartawan pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, semalam. – Bernama

Beliau berkata dadah berkenaan diimport dari negara China untuk dijual di pasaran tempatan.Katanya, modus operandi yang digunakan suspek untuk import bahan terlarang itu ke negara ini adalah menggunakan perkhidmatan kurier antarabangsa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.Pada masa sama, Mohd Mokhtar berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios, sebuah motosikal, seutas jam tangan berjenama dan wang tunai 40,000 Yuan Renminbi (RM25,200).

“Mengikut rekod PDRM, pada tahun lepas ketamin dijual sekitar RM25,000 sekilogram tetapi memandangkan permintaan tinggi di negara ini ia dijual RM50,000 sekilogram pada tahun ini,” katanya.

Katanya kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesaslahan.