Polis rampas ekstasi, syabu bernilai RM8.1 juta

Polis rampas ekstasi, syabu bernilai RM8.1 juta

JOHOR BAHARU, 11 Jan (Bernama) – Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses pil ekstasi, merampas beberapa jenis dadah bernilai RM8.1 juta dalam serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, Jumaat dan Sabtu lepas.

Turut ditahan enam lelaki tempatan berumur antara 37 dan 45 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata serbuan dan penahanan kesemua lelaki itu bermula pukul 3.20 petang hingga 12.20 tengah malam oleh JSJN, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman serta dibantu JSJN Johor.

“Dalam serbuan pertama, di sebuah rumah di Taman Sri Pelangi, di sini, polis membongkar makmal itu yang dipercayai sudah beroperasi selama empat bulan dan menahan dua lelaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 58 kilogram disyaki serbuk ekstasi, 5,290 pil disyaki ekstasi, sekilogram dadah disyaki syabu, dua kilogram serbuk bahan kimia, sejumlah botol berisi bahan kimia, peralatan memproses pil ekstasi, empat laras senapang angin, dua pistol angin serta dua peluru, di rumah itu.

ARTIKEL YANG SAMA