Polis Sabah kerah 263 anggota dalam Op Selamat 7

Polis Sabah kerah 263 anggota dalam Op Selamat 7

KOTA KINABALU, 10 Julai (Bernama) – Seramai 263 anggota polis daripada semua jabatan kontinjen Sabah terlibat dalam Op Selamat 7 sempena kempen musim perayaan Aidilfitri, yang dijalankan selama 15 hari bermula hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata daripada jumlah itu seramai 49 pegawai dan 214 anggota akan ber-tugas bersama-sama agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi membuat pemantauan serta rondaan keselamatan.

“Anggota akan menjalankan pemantauan di jalan raya serta rondaan keselamatan di kawasan perumahan termasuk di kawasan perairan yang turut dibantu oleh agensi-agensi yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Op Selamat Siri 7/2015, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 30 lokasi di setiap daerah di negeri ini dikenal pasti sebagai kawasan yang sering berlakunya kemalangan jalan raya dan susulan itu anggota polis yang bertugas akan menjalankan rondaan di kawasan dianggap ‘panas’.

Awang Sahari turut menasihatkan penghuni rumah yang akan bercuti supaya memaklumkan kepada pihak polis dengan mengisi borang yang boleh didapati di setiap balai polis daerah.

Katanya, ia bagi memudahkan rondaan dijalankan di kawasan perumahan bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah khususnya jenayah pecah rumah.