Polis Sabah rampas syabu lebih 1.2kg bernilai RM156,000

Polis Sabah rampas syabu lebih 1.2kg bernilai RM156,000

KOTA KINABALU, 18 Nov – Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 1,206.28 gram bernilai RM156,000 dalam beberapa serbuan di sini, Rabu lepas dan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata dalam tangkapan pertama Rabu lepas, polis berjaya menahan suspek pertama berusia 50 tahun di kawasan Jesselton Point kira-kira pukul 10:10 pagi.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek itu, polis menjumpai tujuh peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 351.47 gram disembunyikan di dalam motosikal milik suspek berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah bilik di kawasan Api-Api Centre semalam, dan menjumpai 13 peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 660.71 gram serta wang tunai RM43,000.

ACP M. Chandra menunjukkan barang bukti yang disita berhubung rampasan dadah bernilai RM156,000 dan wang tunai RM43,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah kelmarin. – Bernama
ACP M. Chandra menunjukkan barang bukti yang disita berhubung rampasan dadah bernilai RM156,000 dan wang tunai RM43,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah kelmarin. – Bernama

Polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 42 dan 45 tahun, dipercayai rakan sejenayah suspek pertama di sebuah pusat urut di sekitar Api-Api Centre 2:30 petang semalam, kata Chandra.

“Hasil tangkapan itu polis kemudiannya membuat serbuan ke sebuah pejabat di Kompleks Karamunsing dan menjumpai empat peket plastik lut sinar berisi syabu seberat 194.10 gram,” katanya.

Chandra berkata pihaknya turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Toyota Vios dan basikal daripada ketiga-tiga suspek berkenaan untuk siasatan lanjut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA