Polis Sandakan berkas dua pengedar, rampas syabu bernilai RM55,000

SANDAKAN, 10 Okt – Polis merampas 550.8 gram syabu bernilai kira-kira RM55,000 dan menangkap dua warga asing yang dipercayai pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata dalam serbuan pertama di perkampungan setinggan TB Ward pada 1.45 petang, polis menahan seorang lelaki Filipina berusia 34 tahun dan merampas syabu seberat 50.4 gram.

Syabu yang dianggar bernilai RM5,000 itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar Batu 2 dan Batu 3 di sini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan kedua dilakukan di perhentian bas Bandar Leila  pada  4.35 petang dan polis memberkas seorang wanita berusia 50 tahun yang memegang  Kad IMM 13.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin (dua, kiri) bersama pegawai Bahagian Siasatan Narkotik menunjukkan bungkusan mengandungi syabu yang dirampas dari seorang lelaki dan wanita dalam dua serbuan berasingan Sabtu lalu. – Bernama

Pemeriksaan ke atas suspek menemukan 10 peket lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 500.4 gram bernilai RM50,000, katanya.

Beliau berkata dadah terbabit dipercayai untuk pasaran Bandar Leia.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Azhar turut berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga tertangkapnya kedua-dua suspek pengedar itu. – Bernama