Polis Sarawak nafi dakwaan salah

MIRI, 12 Mac – Polis Sarawak hari ini menafikan dakwaan Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) bahawa mereka gagal menyediakan perlindungan secukupnya kepada petugas barisan depan yang terlibat dalam operasi anti-rabies di negeri itu selain tidak bertindak terhadap laporan polis yang dibuat berhubung ancaman ke atas petugas terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata pihaknya kesal dengan dakwaan SVA tersebut memandangkan setiap laporan polis yang diterima berhubung kes berkenaan disiasat secara terperinci.

“Saya sendiri melihat perkara ini dan pada 7 Januari lalu, dua pengguna media sosial ditahan oleh polis di Padawan kerana mengeluarkan ancaman terhadap petugas perkhidmatan veterinar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Malah katanya, polis kini sedang menyiasat dua laporan polis yang dibuat masing-masing di Samarahan dan Miri semalam serta akan menangkap suspek sebaik sahaja mereka dikenal pasti.

Pada masa sama, Dev berkata polis akan menyediakan perlindungan secukupnya kepada petugas yang terlibat dalam operasi cegah rabies sekiranya mereka dimaklumkan lebih awal.

“Jika polis tidak dimaklumkan lebih awal berhubung sebarang operasi cegah rabies, jangan salahkan kami jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya menambah polis tidak boleh membuat tangkapan semata-mata ada individu mengeluarkan kata-kata cacian. – Bernama