Polis Saudi terkorban dalam satu kejadian tembak

Polis Saudi terkorban dalam satu kejadian tembak

RIYADH, 8 Mei (dpa) – Seorang anggota polis Arab Saudi terkorban dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan pihak yang disyaki militan dalam serangan yang digagalkan pada balai polis di wilayah barat Taif, menurut pihak kerajaan hari ini.

Anggota yang mengawal balai polis itu di bandar Bani Malek ternampak dua lelaki menyelinap ke dalam letak kereta berhampiran, jurucakap Kemeterian Dalam, Mansour al-Turki berkata.

“Dua orang pengganas itu mula melepaskan tembakan ke arah pihak polis, mencetuskan tembak menembak yang mengakibatkan seorang anggota polis terkorban,” ujar Mansour dalam satu keterangan.

Kedua-dua suspek melarikan diri ke kawasan pergunungan berdekatan “di mana mereka dikepung,” ujarnya lagi.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas Arab Saudi berkata empat orang “pengganas” telah maut dalam serbuan polis di kota suci Mekah.

Pihak berkuasa Saudi berkata empat orang itu telah dikehendaki dalam hubungan dengan beberapa siri serangan pada masjid-masjid yang dimiliki oleh komuniti minoriti Syiah di kerajaan itu.

Beberapa daripada serangan itu didakwa dilakukan oleh militan Sunni IS yang menganggap Islam Syiah sebagai bidaah.