Polis sedia pantau perhimpunan bersih

Polis sedia pantau perhimpunan bersih

KUCHING/KOTA KINABALU, 16 Nov – Pihak polis sudah bersiap sedia dengan strategi dalam memantau perhimpunan Bersih 5.0 yang dirancang diadakan di sini Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata beliau difahamkan bahawa notis mengenai perhimpunan itu telah dimajukan pihak penganjur, namun mereka tidak diberi kebenaran dari segi pemilihan lokasi perhimpunan.

Beliau berkata majlis kerajaan tempatan mungkin mengambil kira banyak sudut seperti kesulitan yang bakal timbul, kesusahan orang ramai atau masalah lalu lintas. Namun jika pihak penganjur tetap mahu teruskan perhimpunan di lokasi itu, ia merupakan tanggungjawab mereka sendiri.

“Kita ada Akta Perhimpunan Aman 2012. Nasihat saya supaya (peserta) lihat agenda masing-masing. Saya tidak boleh nasihat orang ramai agar pergi atau tidak (ke perhimpunan itu). Kita ikut undang-undang dan kalau ada pelanggaran dari sudut undang-undang, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Seminar Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mazlan menekankan agar semua pihak menghormati Akta Perhimpunan Aman.

“Seboleh-bolehnya kita perlukan segala bukti yang ada. Andai kata sekiranya ada kes-kes jenayah yang berlaku, kita akan nilai balik bukti-bukti kita, yang penting semangat Akta Perhimpunan Aman perlu dijamin oleh semua pihak,” tambahnya.

Perhimpunan Bersih 5.0 di Sarawak sebelum ini dirancang untuk diadakan di Panggung Udara di Jalan Taman Budaya, namun Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai menolak penggunaan venue itu atas faktor keselamatan memandangkan kawasan itu sedang dibaiki.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata, perhimpunan Bersih 5 yang akan diadakan di Taman Ujana Rimba, Sabtu ini melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata pihaknya telah menerima notis pemberitahuan daripada pihak penganjur, namun notis berkenaan tidak lengkap serta tidak menepati syarat dan peraturan.

“Pada 2 November lalu, kita telah menerima notis pemberitahuan itu. Tetapi ia tidak lengkap kerana gagal mendapatkan persetujuan tuan premis, hingga menyukarkan pihak polis untuk memproses notis berkenaan.

“Kita juga telah memanggil pihak penganjur dan telah memberi pemberitahuan secara rasmi bahawa perhimpunan yang bakal diadakan itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian bangunan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Kota Kinabalu di sini hari ini.

Chandra meminta orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Untuk persiapan menghadapi perhimpunan itu, pihak polis telah bersedia dengan kekuatan yang secukupnya untuk mengawal ketenteraman dan lalu lintas pada hari tersebut,” katanya. – Bernama