Polis Sepanyol rampas nanas disumbat kokain

Polis Sepanyol rampas nanas disumbat kokain

MADRID, 31 Mei (AFP) – Polis Sepanyol telah merampas 200 kilo (440 paun) kokain yang ditemui di dalam nanas yang dikorek isinya dan sampai di negeri itu menggunakan kapal dari Amerika Tengah, menurut kementerian dalam negeri hari ini.

Buah yang disumbat dadah itu telah ditemui di kalangan 10 kontena perkapalan yang dipenuhi dengan buah nanas yang tiba di pelabuhan selatan Algeciras, salah sebuah pelabuhan terbesar Eropah, menurut kementerian dalam satu kenyataan.

“Di antara beribu-ribu buah nanas segar di dalam kontena itu, mereka menemui buah yang telah dikorek isinya dan disumbat dengan dadah serta kemudian ditutupi dengan lilin kuning yang menyerupai warna isi buah nanas,” menurut kenyataan tersebut.

Nanas itu tiba dari negara yang tidak didedahkan di Amerika Tengah dan dalam perjalanan di hantar ke dua buah syarikat, sebuah berpangkalan di Madrid dan yang lain di Sant Quirze del Valles berhampiran Barcelona.

Kedua-dua buah syarikat itu dikatakan dijalankan oleh warganegara Sepanyol, asal Colombia.

Polis telah menahan tiga orang sebagai sebahagian daripada siasatan mereka dan belum lagi mengeluarkan isu penangkapan.

Tahun lepas, polis di Algerciras telah merampas 2.5 tan kokain yang disembunyikan di dalam pengiriman nanas yang tiba dari Costa Rica – salah satu penangkapan dadah paling terbesar di Sepanyol.

Hubungan rapat Sepanyol dengan bekas koloninya di Amerika Latin telah membuatnya satu tempat kemasukan penting bagi kokain yang diseludup di seberang Atlantik ke Eropah.

Penyeludupan kini telah menggunakan kaedah pintar yang semakin meningkat untuk membolehkan dadah itu berjaya menembusi kastam Sepanyol.

Dalam beberapa tahun kebelakangan polis telah menemui kokain di dalam implan payu dara, rambut palsu, plaster acuan yang dibubuh pada kaki patah seorang lelaki serta di dalam set pinggan mangkuk 42 biji, mengandungi mangkuk, pinggan dan piring.