Polis serbu pejabat TPR, SPRM

Polis serbu pejabat TPR, SPRM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) – Polis menyerbu pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, malam tadi dan merampas sebuah komputer riba dan dokumen berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut sumber SPRM, pasukan polis yang dianggotai 12 pegawai dan anggota telah menyerbu pejabat seorang TPR di Bahagian Operasi Khas SPRM di Presint 3 di sini, selama dua jam, malam semalam.

Pasukan itu turut menyerbu rumah TPR itu di sini.

Difahamkan antara dokumen yang dirampas termasuk dokumen yang ditandatangani Ketua Bahagian Operasi yang menjalankan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan.

TPR itu yang dipinjamkan daripada Jabatan Peguam Negara dan merupakan TPR SPRM bagi kes lima individu yang ditahan reman berhubung siasatan akaun 1MDB. Kelima-lima lelaki itu, termasuk dua orang ‘Datuk’ dibebaskan dengan jaminan SPRM.