Polis siasat punca fitnah

Polis siasat punca fitnah

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Pasukan Polis Diraja Brunei kini menjalankan siasatan untuk mencari punca fitnah yang tersebar melalui media sosial yang mencemarkan nama baik pasukan serta melunturkan kepercayaan orang ramai terhadap polis.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Abdul Rahman berkata, siasatan itu dibuat susulan tersebar maklumat melalui sebuah aplikasi dan laman sesawang sosial mengenai tindakan beberapa anggota polis semasa berada di tempat kejadian kemalangan tiga buah kereta di kawasan Lebuh raya Muara/ Tutong yang mendakwa bahawa salah seorang pemandu yang terlibat di dalam kemalangan itu telah ditendang di bahagian kemaluannya.

“Susulan daripada maklumat tersebut Pasukan Polis Diraja Brunei telah pun menjalankan siasatan terperinci dengan serta merta dan mendapati bahawa maklumat tersebut adalah tidak benar sama sekali malahan menjurus kepada perbuatan fitnah terhadap pasukan.

“Berikutan dengan itu kertas siasatan telah pun dibuka untuk menyiasat punca kenyataan itu dikeluarkan dan mencari orang yang telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut ASP Haji Mohamad Noor, penyebaran maklumat palsu sedemikian adalah satu kesalahan dan boleh didakwa mengikut Penggal 22 Kanun Hukuman Jenayah Seksyen 499 iaitu Menjatuhkan Maruah melalui maklumat yang salah dan boleh membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, Pasukan Polis Diraja Brunei memandang serius bagi apa jua maklumat mengenai pasukan sama ada yang betul atau salah dan memohon kepada orang ramai untuk berjumpa terus mana-mana pegawai polis jika ada perilaku pegawai dan anggota pasukan yang menyalahi undang-undang.

Pasukan Polis Diraja Brunei tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai atau anggota jika mereka sabit melakukan kesalahan-kesalahan jenayah atau melanggar sebarang akta atau peraturan, tegas beliau.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei turut memberi peringatan kepada orang ramai juga supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak benar atau palsu atau membuat senario-senario negatif terhadap pasukan yang boleh mencemarkan nama baik pasukan ataupun melunturkan kepercayaan orang ramai terhadap pasukan.

Pasukan Polis Diraja Brunei dengan ini menegaskan setiap laporan atau maklumat akan disiasat secara terperinci dan tindakan undang-undang yang bersesuaian akan diambil terhadap penyebar sebarang maklumat itu.

Jika orang ramai mengetahui sebarang maklumat mengenai pelaku yang menyebarkan maklumat itu untuk menghubungi balai-balai polis yang berdekatan atau menghubungi talian kecemasan 993, tambah ASP Haji Mohamad Noor.

ARTIKEL YANG SAMA