Polis siasat punca insiden ragut 5 nyawa

Polis siasat punca insiden ragut 5 nyawa

MANORVILLE, N.Y., 22 Ogos – Polis sedang menyiasat sama ada kelajuan adalah faktor dalam kemalangan pelbagai kenderaan di jalan utama Pulau Long yang membunuh lima orang termasuk seorang bekas pembantu kepada Gabenor New York, Andrew Cuomo.

Polis Suffolk County berkata, kemalangan itu berlaku pagi semalam di Expressway Pulau Long, dekat Manorville.

Antara yang terbunuh ialah Scott Martella, 29, dari Northport, pengarah eksekutif komunikasi Suffolk County, Steve Bellone dan bekas pembantu kepada Cuomo.

“Scott telah mendedikasikan hidupnya untuk perkhidmatan awam dan membantu orang lain,” kata Bellone dalam satu kenyataan. “Beliau dikenali di seluruh Pulau Long sebagai seorang pemimpin dan seorang yang hebat.”

Polis berkata pemandu dari timur dengan kereta Subaru Outback, Carmelo Pinales, 26, dari Hicksville, nampaknya hilang kawalan dan melanggar dua kenderaan, BMW dan Honda, yang sedang dalam perjalanan menuju ke Barat.

Pinales dan kakaknya yang berusia 27 tahun itu, Patricia Pinales, Westbury, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara anak damit berusia 10 tahun, Christopher, dibawa ke hospital, yang kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Dua yang lain di dalam kenderaan itu, termasuk anak perempuan berusia 3 tahun Patricia, cedera.

Seorang penumpang BMW, Isidore Adelson, 81, daripada Westhampton, telah dibawa ke hospital, di mana beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya itu. Tiga yang lain dalam kereta BMW itu hanya mengalami kecederaan.

Martella, yang memandu Honda, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara tunangnya yang berusia 29 tahun, Shelbi Thurau, Northport, mengalami kecederaan.

Cuomo, seorang Demokrat, berkata Martella berkhidmat dalam pentadbiran selama lebih daripada empat tahun. – AP