Polis Sweden ke Thailand siasat penjual buku HK hilang

Polis Sweden ke Thailand siasat penjual buku HK hilang

BANGKOK, 29 Jan – Detektif Sweden telah berkunjung ke Thailand untuk menyiasat kehilangan seorang penjual buku yang berpangkalan di Hong Kong yang hilang di negara itu dan kemudiannya muncul semula dalam tahanan China, kata polis Thai hari ini.

Gui Minhai, seorang warga Sweden, hilang dari pangsapurinya di tepi pantai di bandar peranginan Pattaya pada Oktober.

Beliau adalah seorang daripada lima orang daripada sebuah firma percetakan Hong Kong yang terkenal kerana menghasilkan judul lucah yang mengkritik pemimpin China telah hilang dalam beberapa bulan ini tatkala Beijing memburu penentang di luar sempadannya.

Mejar Jeneral Apichart Suriboonya, ketua Polis Hal Ehwal Luar Thai, memberitahu AFP pegawai Sweden telah tiba di negara itu.

“Mereka datang ke sini, bukan untuk menyiasat disebabkan mereka tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Namun mereka telah dihantar untuk membantu mempercepatkan siasatan polis Thai,” kata beliau.

Akhbar Hong Kong Apple Daily melaporkan detektif Sweden melawat pangsapuri Gui pada Rabu, menemu bual penduduk dan mengambil salinan gambar pengawasan bangunan.

Mejar Jeneral Apichart tidak memberi komen mengenai laporan, begitu juga dengan Kedutaan Sweden di Bangkok.

Gui adalah seorang daripada sekurang-kurangnya tiga pengkritik Beijing yang telah hilang dalam beberapa bulan ini di Thailand, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa pemimpin tentera Thai sedang menghantar penentang pulang ke China secara rahsia atau membenarkan pengawalan bebas China untuk memburu mereka di negara Thai.

Junta Thailand, yang telah berbaik dengan Beijing sejak merampas kuasa pada Mei 2014, telah mendiamkan diri mengenai dasar mereka terhadap China. – AFP