Polis tahan 44 PATI dalam Op Bersepadu

Polis tahan 44 PATI dalam Op Bersepadu

KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) – Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan daripada 113 individu yang diperiksa polis di lima lokasi berasingan dalam Op Bersepadu, semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata operasi itu dijalankan di sekitar Inanam, Sulaman dan Sepanggar selama sembilan jam berakhir 9 pagi ini.

“Polis turut menahan enam individu termasuk seorang wanita kerana kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chandra berkata kesemua mereka ditahan dan didokumentasi sebelum dihantar ke Lokap Berpusat Kontinjen Sabah di Kepayan untuk siasatan lanjut.