Polis tahan 6 suspek, jumpa semula 15 motosikal curi

Polis tahan 6 suspek, jumpa semula 15 motosikal curi

KUCHING, 23 Ogos – Polis menjumpai semula 15 motosikal curi di pelbagai lokasi di sebuah ladang kelapa sawit di Kilometer 21 Jalan Sibu-Bintulu dalam operasi sepanjang 12 jam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Dev Kumar M. M. Sree Shanmugam berkata bertindak atas maklumat yang diperoleh sejak minggu lepas, sepasukan anggota diketuai oleh ASP Abdullah Tuan Hassan menjalankan serbuan Op Lejang pada 2 pagi.

Beliau berkata polis menahan enam lelaki berumur antara 16 dan 21 tahun dipercayai anggota kumpulan curi motosikal di Sibu dan 13 daripada 15 motosikal curi itu dilaporkan dicuri di Sibu manakala dua lagi di Bintulu.

“Ini merupakan rampasan motosikal curi terbesar tahun ini dan kita percaya telah melumpuhkan satu daripada kumpulan curi motosikal yang aktif di Sibu. Saya ucapkan tahniah kepada Pasukan Petugas Bersama yang terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah Sibu dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat atas kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes itu terbongkar Khamis lepas selepas sepasukan anggota diketuai oleh Inspektor Baharuddin Sabang menahan seorang penganggur berusia 17 tahun di sebuah rumah panjang di Jalan Nanga Salim pada 12 tengah hari dan menemukan dua motosikal dilaporkan dicuri beberapa jam lebih awal.

Dev berkata operasi susulan dijalankan dan suspek kedua, seorang penganggur lelaki berusia 16 tahun ditahan di sebuah rumah panjang di Jalan Nanga Salim, Sibu kira-kira dua jam kemudian.

“Suspek ketiga, juga seorang penganggur lelaki, ditahan pada hari yang sama kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 25, Jalan Sibu-Bintulu,” katanya.

Katanya lagi, dua hari kemudian, pasukan Baharuddin menahan suspek keempat, seorang anggota polis bantuan berusia 21 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Selangau pada 3 petang.

Dev berkata pada Ahad lepas, seorang lagi suspek, seorang pekerja buruh berusia 17 tahun ditahan di rumah panjang di Bawang Assan, Sibu kira-kira 5 petang dan suspek keenam dan terakhir, seorang penganggur lelaki berusia 17 tahun ditahan di bandar Sibu kira-kira pukul 6:39 petang. – Bernama