Polis tahan 9 terbabit pecah rumah di Sandakan

Polis tahan 9 terbabit pecah rumah di Sandakan

SANDAKAN, 11 Nov – Polis menumpaskan kegiatan satu kumpulan pecah rumah selepas menahan sembilan lelaki dalam serbuan di sekitar Perkampungan Air Batu Sapi dekat sini pada 31 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek termasuk seorang warga asing yang berumur antara 23 dan 43 tahun, polis percaya dapat menyelesaikan 27 kes pecah rumah di daerah itu.

Menurut Zabidi, turut dirampas adalah 137 barang curi, kebanyakannya telefon bimbit serta peralatan digunakan kumpulan itu ketika melakukan kegiatan mereka termasuk sebuah kereta Perodua Kancil.

ACP Zabidi Mohd Zain (dua, kiri) menunjukkan barangan curi yang dirampas dengan tertangkapnya sembilan lelaki pada 31 Oktober lalu di Perkampungan Air Batu Sapi. – Bernama
ACP Zabidi Mohd Zain (dua, kiri) menunjukkan barangan curi yang dirampas dengan tertangkapnya sembilan lelaki pada 31 Oktober lalu di Perkampungan Air Batu Sapi. – Bernama

“Sasaran kumpulan pecah rumah itu adalah premis perniagaan di kawasan Bandar Sandakan, Bandar Indah dan Bandar Kim Fung di Batu 4 Jalan Labuk,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zabidi berkata seorang daripada mereka juga mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan pecah rumah, pencerobohan jenayah, miliki barang curi dan penyalahgunaan dadah. Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Bernama