Polis tahan dua lelaki, rampas syabu di Kinabatangan

Polis tahan dua lelaki, rampas syabu di Kinabatangan

KINABATANGAN, 14 Ogos – Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah seberat 5.65 gram dalam serbuan di sebuah pondok di Ladang Jeroco, Kapis dan Hap Seng, dekat sini Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt. A. Sahak Rahmat dalam serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan pada kira-kira 4.30 petang itu, dua lelaki berusia 26 dan 34 tahun turut ditahan.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek cuba melarikan diri dari pondok yang dipercayai menjadi sarang penagihan dadah.

“Namun, cubaan mereka gagal dan pemeriksaan lanjut di pondok tersebut mendapati satu bekas plastik jernih dan di dalamnya terdapat dua paket plastik mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah syabu,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, A. Sahak berkata seorang pembonceng wanita berusia 43 tahun maut apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Ladang Mewah, dekat sini, petang semalam.

kejadian pada 3.20 petang itu, penunggang motosikal yang berusia 37 tahun itu cedera parah akibat patah kaki kiri. – Bernama