Polis tahan lelaki baling pemetik api

Polis tahan lelaki baling pemetik api

LONDON, 22 Feb (Agensi) – Polis menahan seorang lelaki yang membaling pemetik api ke dalam padang ketika Chelsea menewaskan Manchester City 5-1 dalam saingan Piala FA di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Objek itu dibaling ketika David Faupala meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan di penjuru padang berdekatan penyokong Chelsea pada babak pertama.

“Seorang lelaki ditahan kerana membaling pemetik api ke dalam padang dan dia kini direman untuk siasatan lanjut.

“Pada masa yang sama, siasatan diteruskan bagi mencari individu yang membaling syiling,” kata kenyataan yang dikeluarkan polis.

Chelsea sebelum itu menegaskan mereka akan mengenakan larangan masuk ke stadium dan menyokong tindakan polis jika dapat mengenal pasti penyokong yang membaling syiling itu.

“Kami mengutuk tingkah laku bodoh dan bahaya itu. Jika kami dapat mengenal pasti individu yang bertanggungjawab, kami akan melarang mereka masuk ke Stamford Bridge,” kata Ketua Komunikasi Chelsea, Steve Atkins.

Sementara itu, Pengurus Sementara Chelsea, Guus Hiddink, juga melahirkan rasa kurang senangnya dengan tindakan penyokong itu.

“Saya sedar dengan tindakan itu. Memang ada penyokong yang membaling syiling kepada pemain City ketika mereka meraikan jaringan. Kami mengutuk perkara itu dan Chelsea akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA