Polis tahan lelaki bunuh anak secara tragis

Polis tahan lelaki bunuh anak secara tragis

JAKARTA, 6 Mei (Bernama) – Polis menahan seorang lelaki berumur 34 tahun yang dipercayai membunuh anak kandungnya berumur enam tahun dengan menghempap tong gas seberat 3 kilogram di atas kepala kanak-kanak itu, semalam.

Media-media tempatan hari ini memetik jurucakap Polis Daerah Sulawesi Selatan Frans Barung Mangera berkata, kejadian berlaku di rumah dua beranak itu di Kampung Bulu-bulu, di daerah Tamalanrea, Makassar, Sulawesi Selatan.

Lelaki itu dikatakan hanya tinggal berdua dengan anaknya setelah berpisah dengan isterinya beberapa tahun lepas.

Katanya, polis menerima panggilan penduduk kampung yang menangkap seorang lelaki dalam rumahnya kerana dipercayai mabuk dan membunuh anaknya sendiri.

Beliau berkata polis menemukan mayat kanak-kanak lelaki itu yang parah di kepala dan hasil siasatan mendapati lelaki itu mendakwa dia tidak sedar telah membunuh anaknya kerana telah dirasuk makhluk halus.

Pada perkembangan lain, Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini menggesa polis menahan dan mendakwa sekumpulan remaja yang dikatakan membunuh dan merogol seorang remaja perempuan berumur 14 tahun dikenali sebagai Yuyun di Bengkulu, Timur Laut Sumatera, tiga hari lepas.

ARTIKEL YANG SAMA