Polis tahan lelaki gali kubur ibu, cuba ‘hidupkan’ mayat

Polis tahan lelaki gali kubur ibu, cuba ‘hidupkan’ mayat

JAKARTA, 23 Jun (Bernama) – Gara-gara percayakan mimpi bahawa ibunya belum mati walaupun telah dikebumikan, seorang lelaki sanggup menggali kubur dan membawa pulang mayat ibunya atas alasan untuk ‘menghidupkan’ semula mayat itu.

Perbuatan pelik lelaki dikenali sebagai Supriyanto, 47, dari Kampung Dusun Ngrancang di Kedu, Daerah Temanggung, Jawa Tengah itu hanya disedari oleh penduduk kampung setelah sebulan kejadian itu berlaku dan kemudiannya membuat laporan polis semalam.

Agensi berita Antara memetik Ketua Polis Temanggung Wahyu Wim Hardjanto sebagai berkata, polis telah menahan lelaki terbabit bersama dua lagi rakannya yang membantu menggali kubur dan membawa pulang mayat wanita bernama Parimah.

Katanya, Parimah, 70, meninggal dunia pada 14 April lepas dan setelah 40 hari dikebumikan, Supriyanto yang juga anak sulung Allahyarham meminta bantuan enam rakannya untuk menggali dan membawa pulang mayat ibunya dengan mempengaruhi mereka bahawa dia telah bermimpi ibunya boleh hidup semula dengan mengadakan upacara tertentu.

“Kami dapat maklumat dari masyarakat adanya perbuatan pembongkaran (penggalian) mayat oleh anak kandung Almarhumah sendiri. Kejadian pembongkaran ternyata sudah dilakukan sejak bulan Mei 2016 dengan alasan dia boleh menghidupkan kembali ibunya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA