Polis tahan pengedar dadah di Kinabatangan

Polis tahan pengedar dadah di Kinabatangan

KINABATANGAN, 6 Mac (Bernama) – Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia dan merampas sepucuk pistol berserta tujuh butir peluru dalam satu serbuan di Ladang Morisem 5, dekat sini, Sabtu petang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata lelaki berumur 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Sukau semasa membuat pemeriksaan di kawasan semak di ladang berkenaan yang disyaki menjadi tempat menghisap dadah pada kira-kira 3.15 petang.

Katanya ketika pemeriksaan, polis menjumpai satu beg sandang warna hitam mengandungi sepucuk pistol Colt 45 jenama Springfield Armour berserta satu kelopak berisi tujuh butir peluru hidup.

Lelaki berkenaan yang disyaki pengedar dadah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kinabatangan, katanya.

Dia ditahan reman untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif memiliki senjata api itu.