Polis tahan tiga warga Filipina miliki senapang

Polis tahan tiga warga Filipina miliki senapang

SANDAKAN, 18 Feb (Bernama) – Polis menahan tiga lelaki warga Filipina dan merampas selaras senapang berserta dua butir peluru dan sebilah pedang samurai dari sebuah kereta di tapak pasar tamu Kampung Gomantong Jaya Batu 4, Jalan Sukau, di Kinabatangan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata lelaki yang berusia antara 32 dan 44 tahun itu ditahan selepas anggota polis peronda memeriksa sebuah Perodua Kancil, atas maklumat orang awam pada pukul 10.36 malam, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui senapang dengan sebutir peluru berada di tempat duduk belakang kereta, sebutir peluru ditemui dalam poket seluar seorang daripada lelaki berkenaan.

Sementara pedang samurai diselitkan di belakang badan seorang lagi lelaki.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu kini ditahan reman.