Polis tahan tiga warga Indonesia suspek kes samun

Polis tahan tiga warga Indonesia suspek kes samun

KUCHING, 9 Feb – Polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berumur antara 18 dan 31 tahun awal pagi kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan sejak tahun lepas di beberapa tempat di bahagian Kuching.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata tangkapan pertama dibuat oleh bahagian siasatan jenayah daerah Padawan selepas menahan dua lelaki yang sedang memandu kereta Daihatsu Charade di kilometer 46.7, Jalan Kuching-Serian, pada kira-kira pukul 1 pagi kelmarin.

Beliau berkata selepas diperiksa polis menemui dua komputer riba, 11 telefon bimbit, dua cincin, dua utas rantai, dua gelang tangan serta sebilah parang bersama mereka.

Katanya susulan penangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah kongsi di Sungai Moyag, Batu Kawa, kira-kira 15 kilometer dari bandar raya, pada pukul 5:30 pagi kelmarin, yang dipercayai anggota kumpulan samun itu.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau berkata polis percaya kumpulan itu terbabit dalam satu kes samun berkumpulan di Jalan Batu Kawa-Bau, kira-kira 20 kilometer dari sini pada 27 Disember lepas, dan lima lagi kes samun bersenjata secara berkumpulan di sekitar pekan Bau dan Batu Kawa, tahun ini. – Bernama