Polis tangkap 3 rancang bom

Polis tangkap 3 rancang bom

JAKARTA, 9 Jun – Polis Indonesia mengatakan hari ini mereka telah menangkap tiga pelampau Islam yang merancang untuk melancarkan pengeboman bunuh diri yang diinspirasikan oleh kumpulan Islamic State (IS) di bandar kedua terbesar negara itu.

Skuad antipengganas polis elit telah menahan lelaki berkenaan di Surabaya, pulau utama negara itu, Jawa, kelmarin dan merampas bom serta senjata api, menurut jurucakap polis kebangsaan, Boy Rafli Amar.

Menurutnya kumpulan itu merancang untuk menyerang tempat-tempat awam dan pejabat kerajaan di bandar itu beberapa hari akan datang, tanpa memberi butiran selanjutnya.

“Mereka telah dipengaruhi oleh IS dalam media sosial,” kata Amar, merujuk kumpulan jihad IS, yang telah mengumumkan ‘khalifah’ di kawasan besar wilayah Iraq dan Syria yang mereka takluk.

“Mereka mendapat inspirasi daripada ucapan ketua IS.”

Anggota polis antipengganas dari Densus 88 membawa bukti dari rumah suspek pengganas semasa satu serbuan di Surabaya pada 8 Jun. – AFP
Anggota polis antipengganas dari Densus 88 membawa bukti dari rumah suspek pengganas semasa satu serbuan di Surabaya pada 8 Jun. – AFP

Polis berkata salah seorang lelaki yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan Abu Jandal, seorang militan Indonesia yang berpengaruh bertempur bersama IS di Syria, namun tidak memberi butiran selanjutnya.

Penganalisis mengatakan Jandal dan rakyat Indonesia lain di Syria telah bersaing untuk menarik perhatian ketua IS dengan menggalakkan pengikut mereka pulang ke tanah air bagi melancarkan serangan dan ada ketikanya menyediakan dana dan bantuan.

Suspek kedua telah dipenjarakan atas kesalahan dadah di penjara sama seperti beberapa militan yang disabit bersalah.

Penjara telah dianggap lubuk radikalisme di Indonesia.

Dalam pada itu, polis tidak memberi butiran lanjut me-ngenai lelaki ketiga. – AFP