Polis tembak lelaki bersenjata kapak di Bintulu

Polis tembak lelaki bersenjata kapak di Bintulu

KUCHING, 17 Feb – Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk menahan seorang lelaki bersenjatakan kapak, disyaki anggota sindiket mencuri kenderaan di Bintulu, 600 kilometer dari sini pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Dev Kumar M.M.Sree Shunmugam berkata dalam insiden kira-kira 03:20 pagi tadi sepasukan polis daripada JSJ Bintulu diketuai Insp Nixon Malang terserempak dengan tiga lelaki yang sedang mencuri lori satu tan semasa rondaan pencegahan jenayah di satu tapak pembinaan di Samalaju, Bintulu.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu cuba melarikan diri dengan lori yang dicuri dan selepas dikejar, polis berjaya memintas dan menyekat lori itu di Kilometer 45 Jalan Bintulu-Miri, sebelum ketiga-tiga mereka melarikan diri ke dalam kawasan semak.

Bagaimanapun, Insp Nixon berjaya memegang tubuh seorang suspek yang melarikan diri dan suspek cuba menyerang beliau dengan kapak dalam usahanya untuk melepaskan diri, katanya.

“Dalam mempertahankan diri, Insp Nixon terpaksa menembak kaki kiri lelaki itu dan kemudian suspek berjaya ditahan.

Lengan kiri Insp Nixon juga melecet, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dev berkata dua lagi lelaki itu berjaya melarikan diri dan usaha sedang dijalankan untuk menjejak mereka dengan bantuan unit anjing pengesan.

Beliau berkata suspek merupakan seorang penganggur berusia 33 tahun dari Niah, Miri, 750 kilometer dari sini sedang mendapatkan rawatan untuk luka tembakan di Hospital Bintulu dan siasatan awal mendapati dia merupakan anggota sindiket curi kenderaan yang menyasarkan kenderaan pacuan empat roda dan lori di Bintulu. – Bernama