Polis temui kebun ketum 32 hektar

Polis temui kebun ketum 32 hektar

SATUN, Thailand, 10 Feb – Sepasukan anggota polis, tentera dan pegawai perhutanan di Satun menemui sebuah kebun ketum berkeluasan 32 hektar di Bukit Bantat, daerah Manang di Satun, selatan Thailand.

Ketua Polis Bahagian kesembilan, Jen (Pol) Wirapong Chuenpakdee, berkata kebun terbabit terletak di dalam hutan simpanan hidupan liar yang bersempadan dengan wilayah Trang dan Phattalung.

Beliau berkata, penemuan itu adalah hasil siasatan polis susulan kejadian rumah ketua kampung daerah Manang ditembak beberapa lelaki bersenjata pada 3 Februari lalu.

Kejadian tembakan terhadap rumah ketua kampung itu dipercayai kerana mahu membalas dendam berikutan tindakannya membongkar kewujudan kebun ketum di tengah-tengah hutan simpan hidupan liar itu. Dalam kejadian itu, anaknya yang berusia sembilan tahun, maut.

Wirapong berkata, seramai 150 anggota polis, tentera dan perhutanan terpaksa berjalan kaki selama dua jam untuk sampai ke kebun terbabit, yang dijaga dengan rapi untuk menghasilkan daun ketum Gred A.

“Polis akan menjalankan siasatan lebih lanjut dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai tempatan yang bersubahat dengan kegiatan itu,” katanya.

Wirapong berkata, daun ketum dari kebun itu dijual di wilayah selatan Thailand. – Bernama