Polis temui penghijrah sembunyi dalam kereta

Polis temui penghijrah sembunyi dalam kereta

LONDON, 21 Mei – Seramai 10 suspek penghijrah haram telah ditemui bersembunyi dalam bonet kereta-kereta sport mewah Maserati, menurut polis Britain hari ini.

Penumpang gelap itu dipercayai berasal dari Vietnam, dan ditemui oleh polis di Surrey, selatan England, semalam.

Gambar-gambar daripada polis menunjukkan kereta sport jenama baru Itali di belakang treler, dengan pakaian dan kasut di dalam bonet salah sebuah kenderaan.

“Sembilan orang dewasa telah ditangkap bersama seorang kanak-kanak yang disyaki masuk secara haram ke negara itu,” menurut jurucakap polis.

Jurucakap enggan mengatakan dari mana treler itu datang. Para penghijrah telah dihantar ke pusat imigresen dan visa UK di Dover, tempat masuk biasa ke Britain bagi penumpang gelap dalam kenderaan yang datang dari Perancis.

Imigrasi adalah isu sensitif di Britain dan kerajaan Konservatif baru di bawah tekanan untuk mengurangkan bilangan penghijrah.

Berita itu muncul ketika Perdana Menteri David Cameron hari ini mengumumkan draf undang-undang untuk memperkukuhkan tindakan keras ke atas penghijrah haram. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA