Polis terima 6 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya

Polis terima 6 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya

KUCHING, 26 April – Polis menerima enam laporan berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Negeri, ACP Mohd Harris Daud berkata daripada jumlah tersebut, hanya lima kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut. “Antaranya kes seorang lelaki berumur 53 tahun dicekik dan ditarik oleh penyokong parti lain semasa berada di Dewan Suarah Kapit.

“Terdapat juga laporan mengenai penggunaan bahan kempen dan kain rentang sebelum calon diumumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata kes-kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Harris berkata pihaknya telah meluluskan 29 permit untuk mengadakan ceramah politik kepada 22 calon BN dan tujuh DAP sempena pilihan raya, di samping menerima lapan lagi permohonan pagi ini.

Beliau berkata pihaknya juga mengenal pasti 20 kawasan ‘panas’ termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Stakan dan Senadin.

“Keputusan mengkategorikan kawasan ini sebagai ‘panas’ dibuat berdasarkan kepada pengalaman pada pilihan raya lepas di mana terdapat kejadian seperti khianat antara penyokong serta perang poster yang sengit,” katanya. – Bernama