Polis terima kenderaan pengimbas baru

Polis terima kenderaan pengimbas baru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Kenderaan pengimbas yang baru diperoleh oleh Pasukan Polis Diraja Brunei berupaya mengurangkan masa pemeriksaan dan mempertingkatkan kecekapan pihak polis menjalankan tugas mengawal keselamatan negara.

Kenderaan yang dinamakan Backscatter van itu adalah antara 11 buah kenderaan termasuk lapan buah kereta Toyota Vios dan dua kenderaan Mitsubishi Double-capped yang baru diperoleh pihak polis bagi tahun 2015.

Penyerahan kunci kenderaan berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Gadong di mana Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Bahrin bin Mohd Noor menerima kunci daripada wakil syarikat pengedar kereta.

Juga hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Mohd Shah Al-Islam, Thomas Ling dari Syarikat Carserve, Muhammad Clovien bin Abdullah Timpoh dari NBT (B) Sdn Bhd dan Pengiran Halaludin bin Pengiran Dato Shariffuddin dari GHK Motors Sdn Bhd.

Kenderaan pengimbas itu diperoleh khusus untuk mempertingkatkan keupayaan menangani isu keselamatan di sempadan negara di samping meningkatkan tahap keselamatan sewaktu berlangsungnya upacara khas dan acara peringkat kebangsaan.

Dato Paduka Seri Bahrin (tengah) semasa majlis penyerahan kunci kenderaan baru Pasukan Polis Diraja Brunei kelmarin.
Dato Paduka Seri Bahrin (tengah) semasa majlis penyerahan kunci kenderaan baru Pasukan Polis Diraja Brunei kelmarin.

Kenderaan tersebut dilengkapi peralatan pengimbas sinar-X bagi mengimbas barang larangan dan sebarang bentuk ancaman keselamatan yang terdapat pada kenderaan.

Dengan harapan untuk memperlengkapkan barisan hadapan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kemudahan yang dapat bertindak balas kepada keperluan orang ramai dalam tempoh sesingkat mungkin, salah satu daripada matlamatnya ialah untuk sentiasa mengemaskinikan dan memperbaiki lagi barisan kenderaan keselamatannya.

Tambahan 11 buah kenderaan itu juga akan membolehkan pihak polis mempertingkatkan rondaan dalam usahanya mengurangkan kemungkinan berlaku kegiatan jenayah di negara ini serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha pihak polis.

ARTIKEL YANG SAMA