Polis terus siasat kenyataan Dr Mahathir

Polis terus siasat kenyataan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar masih menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka pada Ogos lepas.

Beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang polis tidak menjalankan siasatan terhadap Dr Mahathir.

“Jangan ingat apabila kita tidak memanggil beliau (Tun Mahathir) kita tidak jalankan siasatan. Siasatan tetap dijalankan tetapi apabila perlu panggil dan merakam keterangan baru kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa kertas siasatan telah dibuka terhadap Dr Mahathir.

“Kita buka kertas siasatan di atas kenyataan dibuat beliau selepas menerima laporan polis dengan menyebut beberapa ahli UMNO terima imbuhan dan bukannya penglibatan beliau dalam perhimpunan Bersih 4,” katanya selepas menutup program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan program Diploma Sains Siasatan Sesi 2013/2014 di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai kewujudan laluan baharu di Sumatera yang digunakan penyeludup dalam kes pemerdagangan manusia, beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Indonesia.

Selain melakukan pemantauan dari semasa ke semasa, pihaknya juga akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia rentas sempadan itu, ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA