Polis Thai timbang saman Paween

Polis Thai timbang saman Paween

BANGKOK, 11 Dis (Reuters) – Polis Thailand berkata hari ini mereka sedang menimbang untuk menyaman seorang bekas pegawai yang menyiasat kes pemerdagangan manusia kerana fitnah mengenai komen dibuatnya yang membabitkan pegawai kanan dalam perniagaan itu.

Bekas Mejar Jeneral Polis Paween Pongsirin tiba di Melbourne beberapa hari lalu dan memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) semalam bahawa beliau bimbang keselamatannya disebabkan tokoh berpengaruh dalam kerajaan Thai, tentera dan polis yang terbabit dalam perniagaan haram itu mahu beliau mati.

“Terdapat beberapa polis tidak baik dan tentera tidak baik yang melakukan perkara berkenaan,” beritahu Paween kepada ABC. “Malangnya polis dan tentera jahat berkenaan adalah orang yang mempunyai kuasa.”

Ketua Polis Diraja Thai Jakthip Chaijinda memberitahu wartawan beliau tidak tahu kenapa Paween melarikan diri tetapi berkata satu kumpulan perundangan sedang memeriksa sama ada komennya adalah bersifat memfitnah.

“Saya tidak tahu sebab-sebab kenapa beliau perlu bercakap mengenai isu ini tetapi beliau tidak harus bercakap mengenainya disebabkan ia boleh menjejas negara,” kata Jakthip.

ARTIKEL YANG SAMA