Polis Thailand imbas detik temui mangsa bunuh

Polis Thailand imbas detik temui mangsa bunuh

KOH SAMUI, Thailand, 8 Julai (AFP) – Seorang anggota polis Thailand menggambarkan detik-detik yang mengganggu perasaan apabila dia menemui mayat dua orang pelancong Britain di pulau Koh Tao ketika perbicaraan yang ditonjolkan ke atas dua penghijrah Myanmar yang didakwa berhubung kematian mereka, bermula hari ini.

Zaw Lin dan Win Zaw Tun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh David Miller, 24 tahun pada September lalu dan merogol dan membunuh Hannah Witheridge, 23 tahun, dalam kes yang telah mencemarkan reputasi Thailand sebagai tumpuan pelancong.

Kedua-dua lelaki yang ditahan di Koh Samui sejak Oktober, tiba di mahkamah dengan menaiki van penjara dengan kaki mereka dibelenggu. Mereka berdepan dengan beberapa tuduhan – termasuklah bunuh, rogol dan rompak – dan jika didapati bersalah boleh dihukum mati.

Anggota keluarga kedua-dua pengembara berjalan kaki warga Britain itu juga hadir ketika perbicaraan bermula dan pihak pendakwaan menyoal saksi pertama mereka, seorang anggota polis yang menemui mayat pelancong-pelancong itu yang luka-luka dan lebam-lebam.

Pegawai itu menggambarkan pemandangan dahsyat apabila dia menemui mayat Miller dalam keadaan ‘bertiarap’ di dalam air cetek dan diikuti dengan mayat Witheridge di pantai. Polis mengatakan dia telah dirogol dan juga dipukul.

Pembunuhan mereka, yang berlaku beberapa ratus ela dari pusat pelancong utama di Koh Tao, telah mengejutkan seluruh Teluk Thailand yang begitu popular dengan pengembara berjalan kaki dan penyelam.

Tetapi pendakwaan telah dicemari oleh dakwaan bahawa penyiasatan yang dijalankan secara ceroboh dengan pasukan pembelaan mendakwa penghijrah-penghijrah, yang bekerja dengan gaji rendah dalam perdagangan pelancongan, dipersalahkan oleh pasukan polis yang tertekan.

Salah satu permintaan utama mereka ialah peluang untuk menguji secara bebas bukti forensik berkontroversi ke atas anak guam mereka.

Selepas memulakan perbicaraan hakim berkata keputusan berhubung perkara ini akan dibuat pada hari Khamis, menurut seorang aktivis bagi kumpulan penghijrah yang membantu membiayai kes pembelaan, ketika para wartawan diminta meninggalkan bilik mahkamah kecil untuk memberi ruang bagi anggota keluarga.

ARTIKEL YANG SAMA