Polis tidak tolak kemungkinan tahan pihak terlibat

Polis tidak tolak kemungkinan tahan pihak terlibat

SHAH ALAM, 22 Julai – Polis tidak menolak kemungkinan menahan beberapa individu yang didakwa bekas Pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan dengan penuh berhati-hati.

“Ini satu perkara yang amat serius seperti saya sebut sebelum ini. Pendedahan ini mengejutkan dan amat serius dan kita perlu jalankan siasatan dengan terperinci serta berhati-hati kerana ada kemungkinan orang yang terlibat itu akan ditahan untuk siasatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan polis bantuan koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad di i-City di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.

Laporan berkenaan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Melanyi pada Isnin lepas memberitahu akhbar The Star bahawa beliau telah berjumpa Justo yang mengakui telah menemui beberapa pemimpin pembangkang yang ingin membeli maklumat untuk memburukkan kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di London dua atau tiga kali pada 2012 dan 2013.

Beliau turut mendakwa hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB, syarikat pelaburan negara, diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam video berdurasi 6.02 minit itu, Melanyi turut menamakan seorang pakar pereka laman web berpangkalan di London yang didakwanya diupah pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown bagi mengubah dan mereka e-mel serta perjanjian palsu sehingga kelihatan tulen.

Khalid apabila diminta mengesahkan kebenaran mengenai dakwaan bahawa pemimpin pembangkang terlibat seperti yang didedahkan oleh Melanyi, beliau berkata: “Itu saya tidak cakap tunggu siasatan.”– Bernama

ARTIKEL YANG SAMA