Polis Turki terkorban dalam serangan di sempadan

Polis Turki terkorban dalam serangan di sempadan

ISTANBUL, 1 Mei (AFP) – Sebutir bom meledak hari ini di luar ibu pejabat polis di Gaziantep, bandar tenggara Turki, yang berhampiran sempadan Syria, membunuh sekurang-kurangnya dua orang anggota polis dan mencederakan 22 orang lagi, menurut gabenor tempatan.

Dalam serangan berlainan di wilayah Mardin di kawasan timur, tiga tentera Turki maut dalam satu serangan hendap militan Kurdis yang telah membunuh ratusan ahli tentera keselamatan dalam pemberontakan baru yang bermula sejak tahun lepas.

Gabenor wilayah Gaziantep Ali Yerlikaya dipetik sebagai berkata oleh media Turki bahawa sembilan yang tercedera adalah anggota polis.

Televisyen NTV melaporkan letupan berpunca dari bom kereta dan diikuti dengan bunyi tembakan senjata.

Gambar-gambar yang ditayangkan di televisyen menunjukkan suasana kelam kabut di luar bangunan ibu pejabat polis di Gaziantep ketika kereta-kereta ambulans dikejarkan untuk membantu mereka yang tercedera yang terbaring.

Kawasan kejadian di mana bom diledakkan. – AP
Kawasan kejadian di mana bom diledakkan. – AP

Salah sebuah dari bandar-bandar utama tenggara Turki, Gaziantep mempunyai penduduk kira-kira 1.5 juta orang dan juga pusat utama bagi orang pelarian yang telah lari dari peperangan di negara jiran, Syria.

Serangan berlaku dengan Turki dalam kegelisahan selepas dua serangan maut di Istanbul tahun ini yang mana para pejuang jihad dikatakan dalangnya dan dua serangan di Ankara yang mana para militan mengaku bertanggung jawab dan mengorbankan berbelas-belas orang.

Kawalan polis ditingkatkan di seluruh negara ketika pihak berhaluan kiri dan para aktivis buruh bersiap sedia meraikan Hari Buruh, satu acara yang kerap berakhir dengan pertempuran dengan pasukan keselamatan.