Polis Victoria dilarang menembak kenderaan

Polis Victoria dilarang menembak kenderaan

MELBOURNE, 19 Sept – Polis Victoria telah dilarang menembak kenderaan bergerak ekoran beberapa siri serangan rempuhan ke atas pegawai.

Beberapa siri kejadian di mana pegawai polis melepaskan tembakan pada kenderaan bergerak telah memaksa Polis Victoria mengharamkan pegawainya daripada berbuat demikian disebabkan risiko bahaya yang mungkin timbul.

Pada awal bulan ini, seorang pemandu ditembak mati oleh seorang pegawai Polis Victoria, di mana pemandu tersebut telah dihimpit di tembok dengan sebuah van di kawasan barat laut Melbourne.

Sementara itu, seorang pegawai menembak sebuah kenderaan yang terbabit dalam satu kejadian rempuhan di Wodonga, 300 km dari timur laut Melbourne, dan sebuah kenderaan dicuri ditembak oleh polis di tenggara bandar. Satu arahan yang dikeluarkan kepada semua pegawai oleh Penolong Pesuruhjaya Andrew Crisp mengarahkan pegawai supaya jangan menembak ‘kenderaan yang bergerak.’

“Telah terbukti menerusi latihan dan pengalaman, di Australia dan dalam komuniti pengawasan yang lebih luas di luar negara, bahawa jika anda menembak pada kenderaan bergerak dengan niat untuk menghentikannya, anda tidak akan berjaya,” kata Crisp dalam arahannya yang disiarkan oleh News Limited hari ini.

“Jika anda menembak pada pemandu dan mencederakan atau membunuh mereka, maka kenderaan akan hilang kawalan. Timbulnya risiko kecederaan yang besar kepada rakan anda atau orang awam.

“Dalam beberapa situasi, apabila kenderaan polis telah dirempuh, pegawai telah memilih untuk keluar daripada kenderaan polis dan mengelak daripada perlanggaran yang akan berlaku. “Jangan lupa bahawa ini mungkin menimbulkan risiko kecederaan fizikal yang lebih besar kepada anggota tatkala mereka terdedah dan/atau tidak dapat bergerak di kawasan kenderaan yang terancam.” – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA