Polisi langit terbuka penting untuk pelancongan

Polisi langit terbuka penting untuk pelancongan

SIBU, 11 Jan (Bernama) – Wilayah Tengah Sarawak amat memerlukan polisi langit terbuka bagi memastikan ia dapat memanfaatkan sektor pelancongannya yang mempunyai potensi untuk menjana ekonomi negeri itu.

Setidak-tidaknya ia harus mempunyai penerbangan terus dari Kota Kinabalu supaya dapat menarik sebahagian pelancong asing yang berkunjung ke Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh.

“Kota Kinabalu merupakan pintu masuk pelancong asing dari Hong Kong, Korea Selatan, Manila dan Guangzhou ke Malaysia Timur. Sekiranya ada penerbangan terus dari Kota Kinabalu, kita akan dapat menarik sebahagian daripada pelancong itu ke sini,” katanya.

Beliau yang merupakan Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) berkata demikian semasa sidang akhbar ‘Kempen 300,000 Tandatangan’ bagi meraih sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan penerbangan terus ke Sibu dari Kota Kinabalu, Singapura dan Fuzhou, China di sini hari ini.

Katanya dua lagi laluan penting yang boleh dipertimbangkan adalah Singapura-Sibu dan Guangzhou atau Fuzhou (China)-Sibu.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada persiapan bagi menjayakan Tahun Melawat Sibu 2017, kata Wong.