Politeknik Brunei juarai pertandingan klip video

Politeknik Brunei juarai pertandingan klip video

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Dengan diinspirasikan daripada pengalaman hidup sebenar, Kumpulan Daily Production dari Politeknik Brunei bukan sahaja berjaya untuk menghasilkan klip video yang menarik tetapi juga berjaya menambat hati panel hakim untuk dipilih sebagai juara Pertandingan Klip Video Kreatif Islami antara Institusi Pengajian Tinggi 2015.

Menurut kumpulan itu, jalan cerita bagi klip video berkenaan diinspirasikan daripada pengalaman mereka sendiri dan diubah untuk menepati konsep serta mesej yang hendak diketengahkan.

Mereka berkata lagi bahawa pelbagai cabaran harus dilalui dalam menghasilkan video itu. Dua cabaran yang ketara bagi mereka adalah untuk mencari lokasi yang bersesuaian bagi penggambaran dan pemilihan pelakon di mana disebabkan oleh kekurangan pelakon, ahli-ahli kumpulan berkenaan sendiri terpaksa memegang watak-watak dalam video itu.

Dengan kemenangan yang diperoleh dalam pertandingan itu, ahli-ahli Kumpulan Daily Production berkata ia merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna bagi mereka dan menyuntik semangat untuk terus berkarya serta memperbaiki lagi mutu video untuk penyertaan dalam pertandingan-pertandingan yang akan datang.

Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pertandingan Klip Video Kreatif Islami Antara Institusi Pengajian Tinggi 2015 berlangsung di Dewan Utama, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Dayang Zalinawati menyampaikan hadiah kepada juara.
Dayang Zalinawati menyampaikan hadiah kepada juara.
Dayang Zalinawati bergambar-ramai dengan para peserta pertandingan.
Dayang Zalinawati bergambar-ramai dengan para peserta pertandingan.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para pemenang dan peserta pertandingan itu ialah Pemangku Pendaftar dan Setiausaha UBD, Dayang Zalinawati binti Haji Mohaimin. Dalam pertandingan itu, sebanyak tujuh buah kumpulan dari institusi-institusi pengajian tinggi mempersembahkan video klip mereka bagi pertandingan yang membawa tema ‘Belia Celik Al-Quran’.

Pada majlis itu, Dayang Zalinawati menyampaikan hadiah kepada para pemenang dengan Kumpulan Daily Production dari Politeknik Brunei selaku juara membawa pulang hadiah wang tunai $500, kumpulan Al-Adiyat dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai $450 dan Kumpulan Danang Bois dari UBD di tempat ketiga membawa menerima wang tunai $400.

Terdahulu daripada itu, pengerusi majlis, Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa pertandingan itu bermatlamat sebagai wadah ‘Pembentukan dan Pembangunan Insan Syumul’ dalam kalangan warga beragama Islam sekali gus menyumbang khidmat kepada masyarakat sebagai penyalur ilmu.

Di samping itu, ia adalah salah satu usaha ke arah merealisasikan impian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei sebagai Negara Zikir serta salah satu usaha untuk lebih selari dari segi kerohanian dengan moto UBD: Ke Arah Kesempurnaan Insan.

Pertandingan yang dijalankan oleh Pejabat Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, Eksekutif Keagamaan dan Kerohanian, Eksekutif Media dan Eksekutif Perhubungan Awam serta Persatuan Mahasiswa-mahasiswi UBD itu dibukakan penyertaannya kepada institut pengajian tinggi yang terdiri daripada UBD, ITB, UNISSA, KUPU SB dan Politeknik Brunei.

Klip-klip video para peserta yang bercorak ilmiah Islam itu akan dimuat naik ke laman sesawang dan media sosial, YouTube dan Facebook, bagi tontonan masyarakat awam. Pertandingan tersebut telah berlangsung sejak pertengahan Oktober sehingga pertengahan November dengan penghakiman diadakan pada 3 Disember lalu.

ARTIKEL YANG SAMA