Politeknik Brunei lanjutkan sesi konsultasi

Politeknik Brunei lanjutkan sesi konsultasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai semasa Ekspo Pengajian Tinggi 2016, Politeknik Brunei akan mengadakan sesi konsultasi bagi orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat mengenai syarat-syarat kemasukan dan program-program yang ditawarkan bagi sesi pengambilan Julai 2016.

Politeknik Brunei dalam kenyataannya menjelaskan, petak pertanyaan akan dibukakan di One Stop Centre, Aras 2, Bangunan Kampus Utama Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan mulai esok (16 Februari 2016) sehingga HECAS dibukakan (iaitu pada suatu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi melalui media massa) bagi memudahkan dan memanfaatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Petak pertanyaan tersebut akan dibukakan dari pukul 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 4 petang.

Sehubungan dengan itu, orang ramai terutamanya pelajar-pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian di Politeknik Brunei adalah dialu-alukan datang mengunjungi petak-petak pertanyaan tersebut bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan.