Politeknik Brunei rai Awal Tahun Hijrah

Politeknik Brunei rai Awal Tahun Hijrah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Politeknik Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Politeknik Brunei baru-baru ini telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 dengan cara serentak di Kampus Utama di Jalan Ong Sum Ping dan Kampus Lumut, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Lumut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis di Kampus Utama, Jalan Ong Sum Ping ialah Pemangku Penolong Pengarah, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan sekolah, pensyarah, pegawai dan kakitangan serta para pelajar Politeknik Brunei.

Majlis tersebut diisikan dengan ceramah khas bagi kedua-dua tempat berkenaan yang bertajuk ‘Hijrah dan Inovasi’.

Menyampaikan ceramah di Kampus Utama ialah penceramah undangan dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Harapandi bin Haji Dahri, manakala menyampaikan ceramah di Kampus Lumut ialah penceramah undangan, Dayangku Norhayati binti Pengiran Kasran.

Dr. Harapandi semasa menyampaikan ceramah.
Dr. Harapandi semasa menyampaikan ceramah.

Penceramah menekankan maksud hijrah yang sebenar bagi seorang Muslim yang mana hijrah bukan hanya setakat di dunia malah juga hijrah menuju akhirat. Hijrah tersebut bukan hanya setakat melakukan perubahan bahkan perkara yang terpenting dalam berhijrah adalah jihad dan niat.

Para pelajar juga diingatkan bahawa menuntut ilmu juga adalah jihad yang juga merupakan satu penghijrahan daripada tiada berilmu kepada mencari ilmu dan bagi sesiapa yang lari daripada perjuangan menuntut ilmu merupakan satu dosa.

Penceramah juga menyentuh mengenai dengan ciri dan tanda cinta kepada Allah di mana mencintai firman Allah adalah dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran. Hal ini boleh diistilahkan sebagai berhijrah mencintai Allah.

Apa yang penting, menurut penceramah, setiap perbuatan hendaklah disertai dengan niat yang baik dan hendaklah mengorak niat dalam setiap perjuangan.

Sebagai kesimpulan daripada ceramah beliau, Dr. Harapandi juga menasihatkan kepada semua yang hadir agar memulakan hidup dan mengakhiri hidup dengan Al-Quran.

Menurut kenyataan yang diberikan, majlis ini bertujuan untuk memeriahkan dan menyemarakkan lagi hari kebesaran Islam melalui ceramah khas yang dikhususkan kepada pelajar-pelajar Politeknik Brunei bagi mendukung hasrat Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

ARTIKEL YANG SAMA