Politeknik Brunei terima kunjungan Pelajar Politeknik Sandakan, Sabah

Politeknik Brunei terima kunjungan Pelajar Politeknik Sandakan, Sabah

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Seramai 17 orang delegasi daripada Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Sandakan Sabah, Malaysia, hari ini, mengadakan lawatan ke Politeknik Brunei, Kampus Utama Bandar Seri Begawan sebagai salah satu daripada program lawatan mereka ke negara ini.

Rombongan yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Pelajar Politeknik Sandakan Sabah, Malaysia, Awang Irwandih bin Mat Jali itu telah dialu-alukan oleh Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pengiran Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan Ketua Jabatan Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Hajah Azizan binti Dato Paduka Haji Othman serta pegawai-pegawai dari Politeknik Brunei.

Menurut kenyataan Politeknik Brunei, di sini, tujuan lawatan tersebut diadakan adalah bagi memahami pengurusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Politeknik Brunei dan menerokai kemungkinan untuk mengadakan kerjasama di antara Politeknik Brunei dan Politeknik Sandakan Sabah, Malaysia bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara kedua-dua buah institusi.

Awang Baihaqi ketika menyampaikan cenderahati kepada Yang Dipertua MPP Politeknik Sandakan.
Awang Baihaqi ketika menyampaikan cenderahati kepada Yang Dipertua MPP Politeknik Sandakan.
Delegasi dari Politeknik Sandakan Sabah ketika bergambar ramai bersama warga Politeknik Brunei.
Delegasi dari Politeknik Sandakan Sabah ketika bergambar ramai bersama warga Politeknik Brunei.

Lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Awang Alias diikuti dengan ucapan daripada Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Brunei diikuti dan ucapan balas daripada ketua rombongan Politeknik Sandakan Sabah.

Seterusnya, perbincangan khas telah diadakan khususnya mengenai pertukaran maklumat dan informasi kedua institusi, amalan-amalan terbaik yang telah diadakan, serta cadangan bagi mengadakan aktiviti usaha sama pada masa depan di antara majlis perwakilan pelajar kedua buah institusi yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Brunei, Awang Baihaqi bin Salleh, dan rakan sejawatannya dari Politeknik Sandakan Sabah, Awang Al-Najib bin Benjamin.

Rombongan juga telah diberi kesempatan untuk melawat prasarana yang terdapat di Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA