Politeknik Brunei terus dimantapkan

Politeknik Brunei terus dimantapkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Usaha memperkembangkan dan memantapkan Politeknik Brunei terus dilaksanakan bagi mencapai visi institusi pendidikan itu sebagai pengeluar graduan berinovatif, berkemahiran tinggi dan kebolehpasaran di masa hadapan.

Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai menekankan semenjak diwujudkan empat tahun lalu, Politeknik Brunei telah pun menambah jumlah ahli akademik dengan kadar pertambahan 35 peratus daripada tahun lalu.

Awang Denis Ho berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei ke-2 bagi tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam hari ini.

Menurutnya lagi, dalam tempoh yang sama, jumlah pengambilan pelajar juga bertambah, daripada seramai 447 orang pada Disember 2014 kepada 1,305 orang pada Disember 2015.

“Selain itu, pada sesi Julai 2015, sebanyak 21 lagi kursus baru di peringkat 4 dan 5 mula diperkenalkan dan dijalankan di tiga lokasi. Di Kampus Ong Sum Ping misalnya, program-program Business dan ICT telah dikendalikan di bawah Sekolah Perdagangan dan Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

“Manakala program Sains dan kejuruteraan dikendalikan di Sekolah Sains dan Kejuruteraan baru di Kampus Lumut dan kursus peringkat diploma peringkat 4 Sains Kesihatan telah mula dikendalikan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam.”

Beliau turut mengatakan institusi itu telah mengenal pasti enam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Perkembangan Lima Tahun 2015-2020 yang dinamakan PB2020 merangkumi kadar pengambilan pelajar, kadar graduan yang berjaya mendapatkan pekerjaan serta kadar graduan yang berjaya melanjutkan pengajian.

“Kajian Pengesanan Graduan bagi pengambilan pertama dan kedua yang telah mengikuti Majlis Konvokesyen Pertama pada tahun lepas telah dibuat di mana jumlah responden adalah sebanyak 100 peratus.

“Hasil analisa daripada kajian tersebut didapati bahawa bagi pengambilan pertama, kadar graduan yang telah mendapatkan pekerjaan serta graduan yang telah melanjutkan pelajaran mereka adalah sebanyak 81 peratus, dan bagi pengambilan kedua, kadar tersebut adalah 73 peratus. Dari jumlah tersebut, kadar graduan yang telah mendapatkan pekerjaan bagi pengambilan kedua ialah 64 peratus. Kajian tersebut telah menunjukkan bahawa sebahagian besar mereka itu, iaitu 86 peratus, telah bekerja di sektor swasta atau bekerja sendiri,” terangnya lagi.

Awang Denis juga menyatakan harapan agar para graduan dapat membuktikan bahawa pendidikan dan latihan yang telah diperoleh akan mampu menjadikan mereka sumber tenaga manusia yang berguna, menepati tuntutan semasa dan berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA